Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

Feed Section

Showing posts with label agama. Show all posts
Showing posts with label agama. Show all posts

Sunday, December 11, 2011

Kehebatan Zikir


Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna.

Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain. Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas. Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan.

Friday, December 2, 2011

Zuhudnya Khalifah Umar Abdul Aziz

Pakaian & Cara Pemakaiannya
Seorang ulama' Quraish meriwayatkan: Sesungguhnya Khalifah Umar Abdul Aziz sebelum dilantik menjadi khalifah pernah berkata: Sesungguhnya aku bimbang kalau-kalau rezeki yang dikurniakan Allah kepadaku tidak mampu untuk membeli pakaian kesukaanku. Sebelum dilantik menjadi khalifah, aku tidak pernah memakai pakaian yang dianggap masyarakat sebagai lusuh, bahkan aku sentiasa dianggap berpakaian baru.Setelah Umar Abdul Aziz menjadi Khalifah, beliau telah membuang sikap & perangai demikian.

Pakaian solat
Seorang pengawalnya berkata: Suatu ketika, Umar Abdul Aziz telah solat Jumaat bersama kami dengan berpakaian yang bertampal poket depan dan bahagian belakangnya. Ketika dia sedang berehat, beliau telah di sapa seorang lelaki: Wahai Amirul Mukminin, Sesungguhnya Allah SWT telah membuka bagi mu pintu kemewahan. Alangkah baiknya jika tuan menggunakan peluang tersebut untuk menghiasi diri dengan pakaian hebat. Umar menundukkan kepalanya sebentar, kemudian menjawab: Sesungguhnya sebaik-baik niat yang ikhlas untuk berzuhud, adalah ketika memiliki kemewahan. Dan masa yang paling sesuai untuk memberikan keampunan, ialah ketika mampu membalasnya.

Harum lagi Bergaya
Raja' bin Haiwah meriwayatkan: Sebelum Umar Abdul Aziz menjadi Khalifah, beliau merupakan lelaki paling harum tubuh dan pakaiannya serta paling bergaya cara berjalannya. Setelah menjadi Khalifah, mereka telah menilai harga pakaiannya (baju, serban, kain, pakaian luaran & dalaman, kain baldu) hanya sekadar 12 dirham sahaja.

Pakaian Ketika sakit
Salamah meriwayatkan: Suatu masa aku menziarahi Umar Abdul Aziz yang sedang sakit. Aku melihat dia memakai baju yang sudah kotor. Lalu aku berkata kepada Fatimah: Wahai Fatimah, Tolong basuhkan baju Amirul Mukminin. Jawab Fatimah: InsyaAllah, kami akan laksanakan.

Keesokan harinya, aku berkunjung lagi. Aku dapati bajunya masih seperti kelmarin. Lantas aku bertanya: Wahai Fatimah, Bukankah aku telah menyuruh menbasuh baju Amirul Mukminin. Sepatutnya engkau menukarkan bajunya, kerana orang ramai sentiasa mengunjunginya.

Jawab Fatimah: Demi Allah, hanya baju itulah yang beliau ada.

Kisah Malik bin Dinar

Kisah Malik bin Dinar al-Sami (meninggal dunia pada 130H/748M) menarik untuk diimbau. Diringkaskan cerita, ketika zaman berpoya-poya dan kaki minum, Malik mengimpikan seorang anak perempuan. Sebabnya, dia mendapat khabar, sesiapa yang mengasihi anak perempuan akan dapat masuk syurga.
Maka dengan izin Allah, Malik pun dikurniakan Allah akan seorang anak perempuan. Menurut beliau, "Ketika dia mula pandai berjalan, maka cintaku bertambah padanya. Setiap kali aku meletakkan minuman keras di hadapan, anak itu datang kepadaku dan mengambilnya lalu menuangkannya ke bajuku."Setiap kali aku hendak minum arak, tangan anakku selalu menepis tanganku, seolah-olah dia melarang aku daripada meminumnya." Malik sungguh menyayangi anak kecil itu, namun ketika berumur dua tahun, anak yang bernama Fatimah itu meninggal dunia. Sedihnya si bapa bukan kepalang.

Pada suatu malam Jumaat, pada Syaaban, Malik meneguk arak lalu tertidur sebelum solat Isyak. Dalam tidur dia bermimpi seolah-olah berada dalam Hari Kebangkitan. "Aku mendengar sesuatu yang bergerak di belakang, ketika aku menoleh ke arahnya kulihat seekor ular yang sangat besar berwarna hitam kebiru-biruan sambil membuka mulut bergerak ke arahku."Malik lari sekuat hati. Di tengah jalan, beliau temui seorang lelaki tua dengan pakaian serba putih bersama haruman semerbak mewangi. "Wahai orang tua, tolonglah selamatkan aku daripada ular itu," rayu Malik. Sambil menangis, orang tua itu menjawab, "Aku begitu lemah sedangkan ular itu lebih kuat daripada aku. Aku tak mampu melawannya. Kau lari sajalah, mudah-mudahan Allah menyelamatkan engkau."
Malik bergegas berlari lagi dan akhirnya sampailah ke pinggir neraka - keadaan sungguh kritikal, di depan neraka, di belakang pula ada ular besar dengan keadaan mulut luas ternganga! Tiba-tiba kedengaran suara, "Tempat kamu bukan di sana (neraka)." Malik beredar dan berjumpa lelaki tua tadi. Malik diminta cuba pergi ke gunung Amanah. "Aku pun menuju ke tempat itu. Di sana aku bertemu dengan seorang anak kecil berwajah sangat indah," jelas Malik. Tanpa diduga, anak itu adalah anak beliau sendiri, Fatimah! Anak kecil itu pun mengusir ular besar. Kemudian mengusap janggut bapanya lalu membacakan sebahagian daripada surah al-Hadid, ayat ke-16.

Ayat Allah bermaksud: "Belumkah datang waktunya bagi orang beriman untuk tunduk hati mereka mengingati Allah." Ia boleh juga dinisbahkan kepada: Apakah belum sampai seru untuk beramal soleh? Tanya Malik kepada Fatimah berserta anak kecil lain, "Apakah yang kalian buat di gunung itu?" Jawab si anak kecil, "Kami adalah anak muslimin yang akan berada di sini sampailah kiamat, menunggu kalian datang kepada kami."

Selepas terjaga daripada tidur, Malik pun bertaubat, lalu menjadi seorang yang terkenal salih dan warak di sisi Tuhan. Lelaki tua adalah gambaran amal salih, manakala ular adalah gambaran amal buruk atau dosa.

Friday, November 25, 2011

Konsep Hijrah Dalam Islam














Awal Muharam atau Maal Hijrah bukanlah perkara asing bagi seluruh umat Islam. Peristiwa ini cukup signifikan dalam konteks memacu kemajuan ummah menghadapi cabaran-cabaran dalam pelbagai bidang.Tanpa penghayatan dan memahami konteks hijrah masa kini, akan mengundang episod kegagalan kepada umat Islam sendiri.Persoalannya berapa ramai daripada kita yang benar-benar menghayati falsafah dan sejarah di sebalik peristiwa tersebut?

Secara umumnya perayaan 1 Muharam ini merujuk kepada peristiwa agung sejarah hijrah (perpindahan) yang dilakukan oleh Rasulullah SAW bersama para pengikutnya dari Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.Tarikh ini menjadi sebahagian daripada hari memperingati di dalam kalendar Islam kerana ia merupakan titik tolak kepada era pergerakan dakwah Islamiah yang disebarkan oleh Rasulullah SAW ke seluruh pelosok dunia. Hasilnya sehingga ke hari ini Islam menjadi salah satu agama terbesar dunia dengan jumlah seramai lebih 1.3 bilion atau satu per lima daripada penduduk dunia.

Perjalanan yang menempuh pelbagai cabaran ini bukanlah semata-mata kerana takutkan ancaman dan asakan daripada kaum kafir Quraisy tetapi menjadi strategi Nabi Muhammad SAW sendiri untuk melalukan transformasi dakwahnya dan juga menjadi sebahagian ujian bagi umat Islam. Ia tidak akan berjaya tanpa perancangan bijak, teliti dan penuh berhati-hati. Ia juga tidak akan berjaya tanpa sifat pengorbanan untuk keluar dari tanah air sendiri semata-mata untuk memperjuangkan atas nama Islam.

Hijrah juga akan gagal sekiranya umat Islam tidak bersatu padu, sentiasa bertelagah, mencari kesalahan dan hanya tahu mengkritik sahaja. Maknanya perpecahan hanya mengundang kegagalan dalam apa jua matlamat yang hendak dicapai lebih- lebih lagi melibatkan soal survival ummah.Jelas betapa hebatnya hijrah tersebut yang bukan hanya berfokuskan semata-mata menyampaikan dakwah tetapi Baginda SAW berjaya mendirikan daulah (negara) Islam Madinah yang lengkap melalui pakatan murni atau kontrak sosial yang dimeterai dalam Perlembagaan Madinah. Ahli sejarah menganggap ia adalah satu perlembagaan bertulis yang pertama di dunia.

Daripada hanya sebuah agama kecil akhirnya berkembang menjadi agama terbesar dunia. Daripada kelompok minoriti yang lemah menjadi majoriti yang perkasa dalam pelbagai bidang. Daripada umat yang lemah dan dihina beranjak kepada umat terbilang yang penuh penciptaan ketamadunan. Daripada bangsa yang jahil dan zalim menjadi bangsa berilmu dan beradab. Itulah hasil perubahan yang tercetus hanya kerana hijrah.

Strategi dan pelan tindakan hijrah berkait rapat dengan bukti yang menunjukkan betapa lemahnya usaha manusia untuk menghancurkan Islam. Ini dapat dibuktikan dengan dalil daripada firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan ketika kaum kafir merancang untuk memenjarakan engkau, membunuh engkau atau mengusir engkau – mereka merancang dan Allah juga merancang. Dan Allah adalah sebaik-baik perancang.” (Al-Anfaal:30)

Ayat tersebut antara lain menjadi kata perangsang kepada Nabi SAW dan umat Islam agar tidak takut dengan ancaman orang kafir kerana Allah SWT mengatasi segala perlakuan mereka. Namun begitu asas pertolongan Allah bukan diberikan dengan percuma, tanpa usaha dan ikhtiar yang bijak tetapi disertai dengan tahap keimanan dan keyakinan kepada Allah SWT yang cukup hebat.

Ketika umat Islam dilanda dengan pelbagai konflik dari sudut politik tanah air dan cengkaman kemiskinan yang sangat ganas, kita memerlukan satu anjakan untuk turut serta berhijrah dalam konteks pemikiran masa kini. Jangan hanya sekadar retorik dan berbangga dengan pencapaian keunggulan Islam pada zaman lampau. Malah kita harus bertanya apakah kita sekarang benar-benar dapat memastikan keunggulan Islam dinikmati untuk generasi akan datang dengan pencapaian kita selama ini?

Hijrah bukanlah bermakna kita menjadi pelarian atau orang buangan dalam konteks hari ini. Skeptikal dan salah tanggapan itu sangat menyimpang daripada kehebatan hijrah itu sendiri. Dalam dunia kejahilan kaum kafir yang bersandarkan ideologi manusia semata-mata, kita menolak dakwaan bahawa umat Islam sentiasa mencari arah perlindungan kuasa besar yang lain atau menjadi pelarian ke negara-negara lain semata-mata untuk menyelamatkan diri.

Kita tidak mengiktiraf pakatan jahat kafir Quraisy yang beria-ia hendak memburu dan menamatkan riwayat Nabi Muhammad SAW ini kerana ia sangat bertentangan dengan kebebasan hak asasi manusia yang tidak boleh dibunuh tanpa melalui sistem perundangan yang sah. Ia juga melambangkan betapa era kejahilan sangat berkuasa pada zaman dahulu yang menghuru-harakan sistem sosial manusia kerana tidak mempunyai panduan daripada wahyu.Nabi Muhammad SAW tidak berdiam diri dan hanya menyerahkan kepada takdir semata-mata tanpa melakukan urusan dakwahnya dengan menggunakan metodologi yang sangat efektif.

Apa pula strategi kita untuk terus menghadapi cabaran hari ini yang jauh lebih kompleks. Sering kali terpapar di dalam media bagaimana tragisnya kehidupan ummah yang penuh dengan kesengsaraan, kemiskinan, kedangkalan ilmu, kelemahan pencapaian ekonomi dan lebih menakutkan ialah peperangan saudara yang melahirkan lebih ramai pelarian.

Di samping memastikan aspek keselamatan dan keamanan negara-negara yang didiami oleh umat Islam, kita harus meletakkan visi dan misi yang sarat dengan kebijaksanaan agar tidak kecundang di pertengahan jalan. Ia sangat menuntut kepada perpaduan dan menjauhi pertelingkahan, tuduhan melulu dan membuang perasaan iri hati sesama kita semua.

Gantikanlah dengan semangat muhibah, toleransi, keazaman murni dan perilaku yang terbaik melambangkan keunggulan jati diri umat Islam melalui pelbagai bidang seperti pendidikan, penerokaan sains, kepesatan ekonomi negara dan kestabilan politik. Pastinya angka ini semakin bertambah dari semasa ke semasa hasil daripada usaha- usaha ke arah memartabatkan umat Islam dalam pelbagai lapangan kehidupan.

Semoga mulai saat ini berazamlah kita semua agar tiada lagi masalah yang melanda umat Islam. Tiada lagi label keganasan yang dikaitkan dengan umat Islam, tiada kemiskinan yang menghambat negara-negara Islam, tiada lagi kepincangan sosial yang negatif, tiada lagi kedengaran semboyan peperangan.