Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

Feed Section

Sunday, December 11, 2011

Adab Rehlah


Pendidikan Islam ( Adab ) Tahun 6

PENGERTIAN

Rehlah ialah pergi melawat atau berkunjung ke sesuatu tempat. Ianya dianggap sebagai melancong, mengembara, berkhemah, menjelajah, atau melawat. Aktiviti rehlah juga boleh dilakukan ke mana sahaja. Antara tempat yang boleh dilakukan aktiviti rehlah ialah di kawasan pantai, kawasan tanah tinggi, pulau peranginan dan sebagainya. Pernahkah anda pergi berehlah? Di manakah destinasi rehlah anda? Adakah anda rasa seronok? Di manakah destinasi rehlah yang ingin kamu pergi?

ADAB-ADAB KETIKA REHLAH

• Berhati-hati memilih tempat.

• Pilih tempat yang sesuai dan selamat.

• Berpakaian sopan dan menutup aurat.

• Jauhkan diri daripada segala perbuatan maksiat.

• Rehlah kerana Allah Taala.

• Sentiasa berwaspada terhadap keselamatan ketika melakukan aktiviti rehlah.

• Menjaga maruah diri dan keluarga.

• Menjaga kelakuan. Jangan menonjolkan perangai buruk anda.

PERKARA YANG PERLU DIELAKKAN KETIKA REHLAH

٭ Bergaul bebas

٭ Memakai pakaian yang mendedahkan aurat

٭ Mengotorkan tempat rehlah

٭ Merosakkan harta benda awam

٭ Melakukan perbuatan maksiat

٭ Tidak menghormati budaya di tempat rehlah

٭ Membuat bising ketika melakukan lawatan ke muzium.

٭ Melakukan kerosakan atau mengubahsuai tempat rehlah.

٭ Melanggar peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

٭ Menggunakan bahasa yang kasar semasa bercakap.

HIKMAH BERADAB KETIKA REHLAH

٭ Mendapat keredhaan dan rahmat Allah.

٭ Memelihara keselamatan dan maruah diri.

٭ Mengambil iktibar daripada ciptaan Allah.

٭ Menambahkan keyakinan terhadap kekuasaan Allah.




Kehebatan Zikir


Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna.

Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain. Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas. Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan.

Pembukaan Kota Mekah


Pendidikan Islam (Sirah ) Tahun 6

Pengenalan

Pada 10hb Ramadhan 10 Hijrah, Rasulullah SAW telah kembali & menakluk Kota Makkah setelah 8 tahun berpindah ke Madinatul Munawwarah.Kota Mekah adalah tempat lahir Nabi Muhammad s.a.w. Lapan tahun selepas berpindah ke Madinah, baginda kembali dan menakluk Kota Mekah pada 10 Ramadhan 8 H bersamaan Januari 630 M.

Latar belakang


Mengikut catatan sejarah, setelah Perjanjian Hudaibiyah ditandatangani pada tahun keenam hijrah (628 M), Islam berkembang dengan meluas. Hal ini telah menyebabkan masyarakat Quraisy berasa iri hati. Mereka juga telah membantu Bani Bakar untuk menyerang Bani Khuzaáh yang memberikan kesetiaan kepada Rasulullah s.a.w.Apabila Rasulullah mendapat tahu hal ini, lalu baginda bersama-sama 10,000 orang tentera Islam terus menuju ke Mekah. Dalam perjalanan, tentera Islam telah bermalam di 'Marun zahrán', Rasulullah mengarahkan tentera Islam supaya mendirikan khemah dan menyalakan obor api yang banyak untuk menggerunkan masyarakat Quraisy. Rasulullah juga telah mengutus Abbas bin Abdul Mutalib untuk berunding dengan Abu Sufyan.Untuk memasuki kota Mekah Rasulullah memerintahkan tentera Islam supaya berpecah kepada empat kumpulan dan memasuki Mekah melalui empat penjuru. Mereka juga diminta supaya tidak melakukan kekerasan atau pembunuhan kecuali apabila terpaksa. Namun, pertempuran hanya berlaku di selatan Mekah dan telah mengorbankan dua orang tentera Islam dan tiga belas orang masyarakat Quraisy.Setelah memasuki Mekah, Rasulullah melakukan tawaf, mencium Hajar Aswad dan memusnahkan berhala yang terdapat di sekeliling Kaabah. Baginda juga memasuki Kaabah dan mencuci dinding Kaabah dengan air zam-zam. Selain itu, baginda memaafkan dan membebaskan penduduk Mekah yang pernah menentang Islam.

Monday, December 5, 2011

Cabaran Guru Hari Ini


Pepatah Melayu menganalogikan guru sebagai lilin membakar diri bagi menerangi orang lain masih relevan dalam era globalisasi ini. Apa tidaknya, ramai kalangan guru kekal pada takuk lama kerana rutin kerja yang diamanahkan pihak ‘stake-holder’, demi melahirkan generasi cemerlang dari segi budaya, agama, sahsiah dan pemikiran.Namun, golongan guru boleh menguntum senyuman kerana jasa mereka terpapar pada kejayaan dikecapi, bukan saja murid diajar bahkan pada setiap pelosok pembangunan. Inilah lilin yang membakar diri demi kebahagiaan orang lain.
Profesion keguruan yang merupakan profesion tertua di dunia, kini memasuki satu lagi era baru. Dulu peranan utama guru ialah sebagai penyampai pengetahuan. Gurulah yang banyak bercakap dan menyoal. Bagaimanapun kini, peranan guru lebih penting sebagai pemudah cara dalam proses pembelajaran. Sebagai pemudah cara, guru perlu lebih sedia dan peka melahir dan menggunakan situasi-situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan. Murid perlu selalu digerak untuk berfikir secara kreatif dan kritikal. Malahan, murid dijangka dapat menyoal guru serta membantu guru membuka luas pintu pembelajarannya. Dahulu, punca pengetahuan adalah dalam bentuk bertulis. Sekarang, lebih banyak bilik darjah ditukar menjadi bilik darjah bestari yang membolehkan pelajar menggunakan komputer untuk mencari lebih banyak pengetahuan dan maklumat. Bagaimanapun, kehadiran guru penting untuk membimbing pelajar membuat pilihan ilmu dan maklumat yang betul.

Betul kata pujangga Usman Awang yang menulis bait keramat bahawa setiap kejayaan dicapai manusia, titik pangkalnya bermula daripada guru.Meskipun guru tidak boleh bermegah dengan kejayaan anak didik mereka, guru harus bangkit daripada kesibukan bagi memberi didikan kepada anak bangsa untuk mencapai kejayaan cemerlang. Inilah satu lagi peranan guru - sebagai seorang pembangun negara. Ini kerana di bawah jagaannya adalah sekumpulan manusia muda yang akan diasuh dan dididik supaya menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab dan berguna. Justeru, fokus guru adalah lebih daripada pembelajaran. Ia melibatkan pendidikan meliputi segala aspek meliputi pembangunan mental, fizikal, emosi, sosial dan psikologi. Guru harus berperanan untuk mengenal pasti dan membangunkan potensi diri pelajar. Peranan guru ini amat penting dalam menentukan corak pembangunan sesebuah negara. Kita perlu sedar, kejayaan negara sehingga kini, sebahagian besar adalah hasil sumbangan kerjaya keguruan. Ini kerana persediaan bagi pengeluaran tenaga kerja negara di semua sektor bermula dari sekolah yang sudah pastinya memerlukan khidmat dan jasa guru. Guru juga adalah model manusia berkelakuan baik. Guru mesti bebas daripada bersikap negatif dan sempit daripada aspek bangsa, kelas, sosial, kedaerahan dan politik.

Seorang ahli psikologi Barat pernah menganalogikan seorang guru yang pintar ibarat ‘walking dictionary’ kerana peranannya memberi arah kepada orang yang ingin bertanya sesuatu.Pun begitu, seorang guru yang proaktif dan berfikiran terbuka lebih mesra dengan sikap keterbukaan dan kesediaannya untuk meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing.Seorang pelajar di Amerika Syarikat pernah dipetik sebagai berkata bahawa guru yang baik ialah guru yang mengajar muridnya seperti mana dia mahukan anak murid mengajarnya. Malah guru yang berpendirian profesional dalam tingkah lakunya dengan memegang kepada nilai-nilai akhlak dan etika yang positif berkemungkinan mampu mempengaruhi pelajarnya daripada ibu bapa mereka sendiri. Bagi memantapkan profesionalismenya, adalah penting guru menjalani latihan sebelum perkhidmatan. Pendedahan awal ini mendedahkan guru dengan pelbagai kaedah dan kemahiran pengajaran yang perlu seorang guru miliki. Bagaimanapun, latihan tidak terhad kepada sebelum perkhidmatan semata-mata. Dalam semua aspek keguruan, ilmu pengetahuan adalah lebih luas dan mendalam hasil usaha penyelidikan dan diskusi guru-guru pengetahuan.

Selain itu, kelayakan akademik juga adalah satu lagi perkara yang perlu ditimbangkan. Ini kerana profesionalisme guru itu adalah berpusatkan kepada pengetahuan. Maka, adalah wajar diramalkan, seiringan dengan kejayaan Malaysia meningkatkan kadar pembangunannya, guru-guru ijazah akan bertugas sehingga ke sekolah rendah. Memandangkan guru memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, sifat kerja guru yang begitu khusus memerlukan guru mempunyai kelayakan akademik minimum dan menghadiri program-program latihan sebelum dan semasa perkhidmatan. Justeru langkah Kementerian Pelajaran Malaysia menggalakkan guru meningkatkan kelayakan akademik melalui pelbagai program dan galakan termasuklah kursus dalam perkhidmatan, galakan guru bukan siswazah melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah, pensiswazahan Guru Besar, anugerah biasiswa melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan ijazah kedoktoran merupakan manifestasi untuk membangunkan kerjaya guru. Bagaimanapun dorongan ini perlu selari dengan insentif untuk terus menyuburkan minat dan kompetensi guru dengan menyediakan Hadiah Pergerakan Gaji umpamanya bagi guru yang mempunyai kelayakan akademik yang lebih tinggi seperti sarjana, Phd dan sebagainya.

Di samping itu, cabaran kini, guru juga perlu mempunyai dan mengamalkan sifat-sifat tingkah laku yang positif. Di samping memperakui akan kepentingan guru, penganugerahan status ini akan dapat menarik calon-calon yang lebih terpelajar dan lebih berkelayakan memohon menjadi guru dan seterusnya akan membantu negara memperoleh kejayaan yang lebih besar.
Benarlah Islam meletakkan profesion guru itu tinggi darjatnya. Hakikat ini ditunjukkan sendiri Imam Shafie ketika beliau pada saat-saat hampir menghembuskan nafas terakhir, meminta anak muridnya mengajar sesuatu kepadanya. Beliau tahu betapa tingginya martabat orang yang mengajar, begitu juga orang yang belajar di sisi Tuhan. Dalam menghadapi krisis pendidikan dalam era globalisasi ini, guru boleh berfikir sejenak terhadap tugas dan tanggung jawab yang harus dipikul bagi memenuhi tuntutan semasa.

Cabaran guru masa depan lebih hebat. Guru harus berfikiran glokal dengan mengadunkan aspek tempatan dengan kepelbagaian entiti dunia yang berlaku begitu pantas dengan pelbagai karenah yang harus dibendung secara lebih bijak dan berhati-hati. Guru masa kini harus melihat kurikulum pendidikan secara dinamik. Guru harus bijak mentafsir kurikulum yang menjadi wahana penyampaian ilmunya. Bagi rakyat, kurikulum yang menjadi intipati kemajuan dan perpaduan ialah integrasi antara kaum.Bentuk kurikulum yang usang dan difikirkan kurang menyumbang kepada kemajuan negara bangsa harus diberi nafas baru atau digubal semula agar penampilannya lebih segar sebagai agen kemajuan dan pembangunan 2020

Friday, December 2, 2011

Zuhudnya Khalifah Umar Abdul Aziz

Pakaian & Cara Pemakaiannya
Seorang ulama' Quraish meriwayatkan: Sesungguhnya Khalifah Umar Abdul Aziz sebelum dilantik menjadi khalifah pernah berkata: Sesungguhnya aku bimbang kalau-kalau rezeki yang dikurniakan Allah kepadaku tidak mampu untuk membeli pakaian kesukaanku. Sebelum dilantik menjadi khalifah, aku tidak pernah memakai pakaian yang dianggap masyarakat sebagai lusuh, bahkan aku sentiasa dianggap berpakaian baru.Setelah Umar Abdul Aziz menjadi Khalifah, beliau telah membuang sikap & perangai demikian.

Pakaian solat
Seorang pengawalnya berkata: Suatu ketika, Umar Abdul Aziz telah solat Jumaat bersama kami dengan berpakaian yang bertampal poket depan dan bahagian belakangnya. Ketika dia sedang berehat, beliau telah di sapa seorang lelaki: Wahai Amirul Mukminin, Sesungguhnya Allah SWT telah membuka bagi mu pintu kemewahan. Alangkah baiknya jika tuan menggunakan peluang tersebut untuk menghiasi diri dengan pakaian hebat. Umar menundukkan kepalanya sebentar, kemudian menjawab: Sesungguhnya sebaik-baik niat yang ikhlas untuk berzuhud, adalah ketika memiliki kemewahan. Dan masa yang paling sesuai untuk memberikan keampunan, ialah ketika mampu membalasnya.

Harum lagi Bergaya
Raja' bin Haiwah meriwayatkan: Sebelum Umar Abdul Aziz menjadi Khalifah, beliau merupakan lelaki paling harum tubuh dan pakaiannya serta paling bergaya cara berjalannya. Setelah menjadi Khalifah, mereka telah menilai harga pakaiannya (baju, serban, kain, pakaian luaran & dalaman, kain baldu) hanya sekadar 12 dirham sahaja.

Pakaian Ketika sakit
Salamah meriwayatkan: Suatu masa aku menziarahi Umar Abdul Aziz yang sedang sakit. Aku melihat dia memakai baju yang sudah kotor. Lalu aku berkata kepada Fatimah: Wahai Fatimah, Tolong basuhkan baju Amirul Mukminin. Jawab Fatimah: InsyaAllah, kami akan laksanakan.

Keesokan harinya, aku berkunjung lagi. Aku dapati bajunya masih seperti kelmarin. Lantas aku bertanya: Wahai Fatimah, Bukankah aku telah menyuruh menbasuh baju Amirul Mukminin. Sepatutnya engkau menukarkan bajunya, kerana orang ramai sentiasa mengunjunginya.

Jawab Fatimah: Demi Allah, hanya baju itulah yang beliau ada.

Kisah Malik bin Dinar

Kisah Malik bin Dinar al-Sami (meninggal dunia pada 130H/748M) menarik untuk diimbau. Diringkaskan cerita, ketika zaman berpoya-poya dan kaki minum, Malik mengimpikan seorang anak perempuan. Sebabnya, dia mendapat khabar, sesiapa yang mengasihi anak perempuan akan dapat masuk syurga.
Maka dengan izin Allah, Malik pun dikurniakan Allah akan seorang anak perempuan. Menurut beliau, "Ketika dia mula pandai berjalan, maka cintaku bertambah padanya. Setiap kali aku meletakkan minuman keras di hadapan, anak itu datang kepadaku dan mengambilnya lalu menuangkannya ke bajuku."Setiap kali aku hendak minum arak, tangan anakku selalu menepis tanganku, seolah-olah dia melarang aku daripada meminumnya." Malik sungguh menyayangi anak kecil itu, namun ketika berumur dua tahun, anak yang bernama Fatimah itu meninggal dunia. Sedihnya si bapa bukan kepalang.

Pada suatu malam Jumaat, pada Syaaban, Malik meneguk arak lalu tertidur sebelum solat Isyak. Dalam tidur dia bermimpi seolah-olah berada dalam Hari Kebangkitan. "Aku mendengar sesuatu yang bergerak di belakang, ketika aku menoleh ke arahnya kulihat seekor ular yang sangat besar berwarna hitam kebiru-biruan sambil membuka mulut bergerak ke arahku."Malik lari sekuat hati. Di tengah jalan, beliau temui seorang lelaki tua dengan pakaian serba putih bersama haruman semerbak mewangi. "Wahai orang tua, tolonglah selamatkan aku daripada ular itu," rayu Malik. Sambil menangis, orang tua itu menjawab, "Aku begitu lemah sedangkan ular itu lebih kuat daripada aku. Aku tak mampu melawannya. Kau lari sajalah, mudah-mudahan Allah menyelamatkan engkau."
Malik bergegas berlari lagi dan akhirnya sampailah ke pinggir neraka - keadaan sungguh kritikal, di depan neraka, di belakang pula ada ular besar dengan keadaan mulut luas ternganga! Tiba-tiba kedengaran suara, "Tempat kamu bukan di sana (neraka)." Malik beredar dan berjumpa lelaki tua tadi. Malik diminta cuba pergi ke gunung Amanah. "Aku pun menuju ke tempat itu. Di sana aku bertemu dengan seorang anak kecil berwajah sangat indah," jelas Malik. Tanpa diduga, anak itu adalah anak beliau sendiri, Fatimah! Anak kecil itu pun mengusir ular besar. Kemudian mengusap janggut bapanya lalu membacakan sebahagian daripada surah al-Hadid, ayat ke-16.

Ayat Allah bermaksud: "Belumkah datang waktunya bagi orang beriman untuk tunduk hati mereka mengingati Allah." Ia boleh juga dinisbahkan kepada: Apakah belum sampai seru untuk beramal soleh? Tanya Malik kepada Fatimah berserta anak kecil lain, "Apakah yang kalian buat di gunung itu?" Jawab si anak kecil, "Kami adalah anak muslimin yang akan berada di sini sampailah kiamat, menunggu kalian datang kepada kami."

Selepas terjaga daripada tidur, Malik pun bertaubat, lalu menjadi seorang yang terkenal salih dan warak di sisi Tuhan. Lelaki tua adalah gambaran amal salih, manakala ular adalah gambaran amal buruk atau dosa.

Profesion Perguruan


Perguruan adalah satu profesion yang bermatlamatkan pembentukan insan dan ihsan manusia yang sempurna agar manusia yang sempurna itu mengerti tentang peranan dan tanggungjawab mereka terhadap diri sendiri, masyarakat, alam yang mereka diami serta terhadap keesaan yang Maha Pencipta. Menurut perspektif agama, kedudukan seorang guru adalah setaraf dan semulia dengan pemimpin negara dan tugas mendidik ahli masyarakat merupakan satu ibadah yang dituntut. Dari segi konsep profesionalisme adalah satu nilai yang berkait rapat dengan fungsi pekerjaan seseorang. Ia perlu wujud dalam diri seseorang jika matlamat pekerjaan menuju ke arah keberkesanan, produktiviti, kecekapan dan tanggungjawab.

Profesionalisme pada asasnya dianggap suatu nilai yang murni jika individu mengamalkan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi, tidak mementingkan diri atau suka memilih pekerjaaan. Profesionalisme seseorang guru berkait rapat dengan mutu pendidikan di beberapa segi, seperti sikap dan nilai guru dalam pengajaran umpamanya, akan mempengaruhi minat, sikap dan nilai pelajar. Begitu juga dengan pendekatan yang digunakan turut memberi pengaruh terhadap tingkah laku, tahap penerimaan dan kefahaman pelajar dengan pembelajaran. Mutu pendidikan juga berkait rapat dengan keberkesanan dalam menggunakan sumber pengajaran secukupnya yang turut mempengaruhi minat, kefahaman, penyertaan dan pencapaian pelajar dalam pembelajaran. Mutu pendidikan berhubung dengan personaliti guru yang akan menentukan iklim pembelajaran pelajar.

Keberkesanan dalam profesion perguruan berkait rapat dengan keupayaan dan usaha guru yang gigih untuk menyempurnakan tanggungjawab terhadap pelajar, sekolah dan masyarakat. Antara tumpuan keberkesanan dalam profesion ini ialah sejauh mana berkesannya penggunaan sumber dan teknologi pengajaran, penggunaan kaedah pengajaran, mewujudkan suasana pembelajaran yang sihat dan berkesan dalam bilik darjah, pengawalan bilik darjah serta keberkesanan menanamkan sikap serta nilai-nilai murni pembelajaran di kalangan pelajar.