Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

Feed Section

Monday, December 5, 2011

Cabaran Guru Hari Ini


Pepatah Melayu menganalogikan guru sebagai lilin membakar diri bagi menerangi orang lain masih relevan dalam era globalisasi ini. Apa tidaknya, ramai kalangan guru kekal pada takuk lama kerana rutin kerja yang diamanahkan pihak ‘stake-holder’, demi melahirkan generasi cemerlang dari segi budaya, agama, sahsiah dan pemikiran.Namun, golongan guru boleh menguntum senyuman kerana jasa mereka terpapar pada kejayaan dikecapi, bukan saja murid diajar bahkan pada setiap pelosok pembangunan. Inilah lilin yang membakar diri demi kebahagiaan orang lain.
Profesion keguruan yang merupakan profesion tertua di dunia, kini memasuki satu lagi era baru. Dulu peranan utama guru ialah sebagai penyampai pengetahuan. Gurulah yang banyak bercakap dan menyoal. Bagaimanapun kini, peranan guru lebih penting sebagai pemudah cara dalam proses pembelajaran. Sebagai pemudah cara, guru perlu lebih sedia dan peka melahir dan menggunakan situasi-situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan. Murid perlu selalu digerak untuk berfikir secara kreatif dan kritikal. Malahan, murid dijangka dapat menyoal guru serta membantu guru membuka luas pintu pembelajarannya. Dahulu, punca pengetahuan adalah dalam bentuk bertulis. Sekarang, lebih banyak bilik darjah ditukar menjadi bilik darjah bestari yang membolehkan pelajar menggunakan komputer untuk mencari lebih banyak pengetahuan dan maklumat. Bagaimanapun, kehadiran guru penting untuk membimbing pelajar membuat pilihan ilmu dan maklumat yang betul.

Betul kata pujangga Usman Awang yang menulis bait keramat bahawa setiap kejayaan dicapai manusia, titik pangkalnya bermula daripada guru.Meskipun guru tidak boleh bermegah dengan kejayaan anak didik mereka, guru harus bangkit daripada kesibukan bagi memberi didikan kepada anak bangsa untuk mencapai kejayaan cemerlang. Inilah satu lagi peranan guru - sebagai seorang pembangun negara. Ini kerana di bawah jagaannya adalah sekumpulan manusia muda yang akan diasuh dan dididik supaya menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab dan berguna. Justeru, fokus guru adalah lebih daripada pembelajaran. Ia melibatkan pendidikan meliputi segala aspek meliputi pembangunan mental, fizikal, emosi, sosial dan psikologi. Guru harus berperanan untuk mengenal pasti dan membangunkan potensi diri pelajar. Peranan guru ini amat penting dalam menentukan corak pembangunan sesebuah negara. Kita perlu sedar, kejayaan negara sehingga kini, sebahagian besar adalah hasil sumbangan kerjaya keguruan. Ini kerana persediaan bagi pengeluaran tenaga kerja negara di semua sektor bermula dari sekolah yang sudah pastinya memerlukan khidmat dan jasa guru. Guru juga adalah model manusia berkelakuan baik. Guru mesti bebas daripada bersikap negatif dan sempit daripada aspek bangsa, kelas, sosial, kedaerahan dan politik.

Seorang ahli psikologi Barat pernah menganalogikan seorang guru yang pintar ibarat ‘walking dictionary’ kerana peranannya memberi arah kepada orang yang ingin bertanya sesuatu.Pun begitu, seorang guru yang proaktif dan berfikiran terbuka lebih mesra dengan sikap keterbukaan dan kesediaannya untuk meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing.Seorang pelajar di Amerika Syarikat pernah dipetik sebagai berkata bahawa guru yang baik ialah guru yang mengajar muridnya seperti mana dia mahukan anak murid mengajarnya. Malah guru yang berpendirian profesional dalam tingkah lakunya dengan memegang kepada nilai-nilai akhlak dan etika yang positif berkemungkinan mampu mempengaruhi pelajarnya daripada ibu bapa mereka sendiri. Bagi memantapkan profesionalismenya, adalah penting guru menjalani latihan sebelum perkhidmatan. Pendedahan awal ini mendedahkan guru dengan pelbagai kaedah dan kemahiran pengajaran yang perlu seorang guru miliki. Bagaimanapun, latihan tidak terhad kepada sebelum perkhidmatan semata-mata. Dalam semua aspek keguruan, ilmu pengetahuan adalah lebih luas dan mendalam hasil usaha penyelidikan dan diskusi guru-guru pengetahuan.

Selain itu, kelayakan akademik juga adalah satu lagi perkara yang perlu ditimbangkan. Ini kerana profesionalisme guru itu adalah berpusatkan kepada pengetahuan. Maka, adalah wajar diramalkan, seiringan dengan kejayaan Malaysia meningkatkan kadar pembangunannya, guru-guru ijazah akan bertugas sehingga ke sekolah rendah. Memandangkan guru memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, sifat kerja guru yang begitu khusus memerlukan guru mempunyai kelayakan akademik minimum dan menghadiri program-program latihan sebelum dan semasa perkhidmatan. Justeru langkah Kementerian Pelajaran Malaysia menggalakkan guru meningkatkan kelayakan akademik melalui pelbagai program dan galakan termasuklah kursus dalam perkhidmatan, galakan guru bukan siswazah melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah, pensiswazahan Guru Besar, anugerah biasiswa melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan ijazah kedoktoran merupakan manifestasi untuk membangunkan kerjaya guru. Bagaimanapun dorongan ini perlu selari dengan insentif untuk terus menyuburkan minat dan kompetensi guru dengan menyediakan Hadiah Pergerakan Gaji umpamanya bagi guru yang mempunyai kelayakan akademik yang lebih tinggi seperti sarjana, Phd dan sebagainya.

Di samping itu, cabaran kini, guru juga perlu mempunyai dan mengamalkan sifat-sifat tingkah laku yang positif. Di samping memperakui akan kepentingan guru, penganugerahan status ini akan dapat menarik calon-calon yang lebih terpelajar dan lebih berkelayakan memohon menjadi guru dan seterusnya akan membantu negara memperoleh kejayaan yang lebih besar.
Benarlah Islam meletakkan profesion guru itu tinggi darjatnya. Hakikat ini ditunjukkan sendiri Imam Shafie ketika beliau pada saat-saat hampir menghembuskan nafas terakhir, meminta anak muridnya mengajar sesuatu kepadanya. Beliau tahu betapa tingginya martabat orang yang mengajar, begitu juga orang yang belajar di sisi Tuhan. Dalam menghadapi krisis pendidikan dalam era globalisasi ini, guru boleh berfikir sejenak terhadap tugas dan tanggung jawab yang harus dipikul bagi memenuhi tuntutan semasa.

Cabaran guru masa depan lebih hebat. Guru harus berfikiran glokal dengan mengadunkan aspek tempatan dengan kepelbagaian entiti dunia yang berlaku begitu pantas dengan pelbagai karenah yang harus dibendung secara lebih bijak dan berhati-hati. Guru masa kini harus melihat kurikulum pendidikan secara dinamik. Guru harus bijak mentafsir kurikulum yang menjadi wahana penyampaian ilmunya. Bagi rakyat, kurikulum yang menjadi intipati kemajuan dan perpaduan ialah integrasi antara kaum.Bentuk kurikulum yang usang dan difikirkan kurang menyumbang kepada kemajuan negara bangsa harus diberi nafas baru atau digubal semula agar penampilannya lebih segar sebagai agen kemajuan dan pembangunan 2020

0 comments:

Post a Comment