Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

Feed Section

Tuesday, October 25, 2011

Teknik Penyoalan

Tidak dapat dinafikan betapa pentingkan kemahiran guru dalam aspek penyoalan semasa melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Dalam setiap borang penilaian pemerhatian bagi penyeliaan pengajaran dan pembelajaran semasa latihan perguruan atau borang penyeliaan oleh Jemaah Nazir Sekolah atau sesiapa sahaja dalam proses penilaian atau pemantauan pengajaran dan pembelajaran guru, pasti sahaja ada elemen ini dinilai. Betapa pentingnya seseorang guru itu menguasai teknik dan kemahiran menyoal adalah menentukan keberkesanan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran. Terdapat amalan guru yang tidak memberikan perhatian kepada teknik menyoal, umpamanya guru menyoal dengan soalan yang tidak jelas, bersifat spontan, tidak menentukan tujuan, stereotaip dan hanya berkisar sekitar mencungkil ingatan serta memahami fakta sahaja. Soalan sedemikian tidak akan dapat mencapai matlamat pengajaran dan pembelajaran.
Apakah Penyoalan?
Penyoalan adalah apa jua pernyataan atau perlakuan yang memerlukan maklumbalas murid. Selain daripada berbentuk lisan, penyoalan juga boleh dilakukan melalui ekspresi muka, isyarat dan konteks fizikal.
SOALAN —-> MAKLUMBALAS —-> REAKSI SELEPAS MAKLUM BALAS
Penyoalan guru adalah merupakan salah satu bentuk interaksi yang berlaku dalam bilik darjah. Teknik penyoalan adalah merupakan salah satu alat untuk mencapai matlamat dan merangsang aktiviti mental. Beberapa kebaikan penyoalan adalah seperti berikut;
1) Merangsang pembelajaran
2) Mengembangkan potensi berfikir murid
3) Memandu kepada idea yang jelas
4) Menggerakkan imaginasi
5) Insentif kepada tindakan
Guru perlu menyedari bahawa kuantiti soalan dan kualiti penyoalan semasa mengendalikan sesi pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah adalah merupakan salah satu unsur penting dalam menentukan keberkesanan dan kualiti sesi pengajaran mereka. Oleh itu, guru perlu merancang dengan teliti dan rapi dengan mengambil kira beberapa faktor seperti berikut;
1) Mental
2) Psikologi
3) Persekitaran
4) Pengalaman murid
5) Keperluan sesuatu mata pelajaran
Mengapakah penyoalan guru ini begitu penting?
Terdapat beberapa unsur yang dapat membantu pengajaran dan pembelajaran guru melalui penyoalan iaitu unsur penyiasatan (interrogation) dan unsur rangsangan yang menunjukkan apa yang harus dipelajari dan arahan yang perlu dilakukan. Janganlah pula kita sendiri yang menyoal dan kita sendiri yang menjawab, tanpa memberikan ruang untuk murid berfikir dan mencari jawapan. Amalan sesetengah guru memang begitu seperti guru mengemukakan soalan kepada semua murid: ”Faham tak?” kemudian tanpa menunggu jawapan murid, beliau meneruskan percakapannya. Atau pun menyoal: ”Faham tak?” dan keseluruhan murid menjawab ”Faham”. Adakah beliau mengetahui siapakah yang sebenarnya faham dan siapa pulan yang tidak faham. Murid cenderung untuk menjawab secara beramai-ramai apabila rakan lain menjawab ”Faham”. Fikirkanlah tindakan yang telah kita lakukan ini dan buatlah renungan atau refleksi mengenai amalan penyoalan kita.
Apakan tujuan guru menyoal?
Berikut adalah antara beberapa tujuan guru menggunakan teknik penyoalan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran:
1) Merangsang penglibatan murid
2) Mengulangkaji
3) Merangsang murid untuk berbincang
4) Melibatkan murid untuk berfikir secara kreatif
5) Menguji kebolehan murid
6) Menilai kemajuan murid
7) Menentukan sejauh manakah objektif pembelajaran tercapai
8) Menarik minat murid
9) Mengawal tingkah laku murid
10) Menyokong sumbangan idea murid
11) Meningkatkan kognitif dan metakognitif murid
Nabi Muhammad (SAW) kerap menggunakan pendekatan dialog dan bersoal jawab sebagai kaedah berinteraksi secara dua hala dalam sesi pengajaran baginda. Ini adalah bertujuan untuk menarik perhatian pendengnar dan mengajak mereka agar memberikan respon atau maklum balas terhadap soalan yang dikemukakan. Dengan cara ini idea yang bernas dapat digunakan dalam menjawab soalan. Sekiranya para sahabat baginda tidak dapat menjawab, baginda sendiri akan memberikan jawapan yang mudah untuk difahami dan berkesan kepada orang yang mendengar. Soalan yang dikemukakan oleh Rasulullah s.a.w adalah menguji minda dan membawa pengertian yang begitu jauh serta mendalam, disamping mengandungi unsur-unsur analogi atau perumpamaan. Diriwayatkan oleh Sayyidina Abi Hurairah, Rasulullah bersabda (menyoal):
”Apakah pandangan kalian sekiranya ada sebatang sungai di pintu rumah masing-masing, dan kalian mandi di dalamnya sebanyak lima kali setiap hari, apakah akan ada kekotoran yang masih tinggal?”
Jawapan daripada pengikut beliau:
”Tidak akan ada kekotoran sedikit pun” Lalu Rasulullah bersabda lagi: ”Demikianlah perumpamaan solat lima waktu, Allah akan menghapuskan segala dosa dengannya”
Baginda juga sering menyoal para sahabat mengenai perkara yang sudah baginda sendiri ketahui untuk mencungkil kebijaksanaan, mengasah kecerdikan dan menyalurkan ilmu kepada mereka melalui teknik mengemukakan hujah agar dapat menguji ilmu yang ada dalam minda masing-masing. Contohnya (menurut riwayat oleh Sayyidina Abdullah bin Umar) semasa Baginda lalu di bawah sepohon kurma, Baginda mengambil buah dan memakannya dan berkata:
”Sesungguhnya ada sejenis pokok yang berwarna hijau, keberkatannya umpama keberkatan seorang muslim, daunnya tidak gugur, dan tidak pula bertaburan, dan ia mengeluarkan buah sepanjang musim dengan izin Allah Taala, dan sesungguhnya ia seumpama seorang muslim, maka khabarkan padaku apakah pohon tersebut?”
Ramai para sahabat telah meneka pohon yang dimaksudkan oleh baginda, dan akhirnya Rasulullah telah memberikan jawapan:
”Ia adalah pohon kurma”
Walau pun Sayyidina Abdullah bin Umar yang mendengar soalan tersebut mengetahui jawapannya, namun beliau merasa malu untuk menjawab kerana beliau adalah paling muda dalam kalangan mereka sedangkan orang lain diam membisu.
Oleh itu, seseorang guru yang memiliki nilai-nilai profesionalisme yang tinggi sewajarnya mengajukan persoalan kepada murid bagi menguji kefahaman, menggalakkan agar mereka sentiasa berfikir serta menjelaskan jawapan yang sebenar kepada mereka sekiranya mereka tidak mengetahuinya. Guru juga perlu menggunakan perumpamaan, metafora, analogi yang bersesuaian untuk menambahkan kefahaman dan menggambarkan maknanya agar ia kukuh menetap dalam fikiran atau minda murid.

0 comments:

Post a Comment